Sunday 18 December 2011

Bab 3 ( A 135859 ) : KEPIMPINAN

Kepimpinan Dalam Organisasi
Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS                 


GENERASI pelapis perlu sentiasa didekati terutamanya oleh para pemimpin negara agar kesinambungan kepimpinan positif dapat diterapkan. - Gambar hiasan

SETIAP daripada kita ialah pemimpin, kepada umat, keluarga mahupun diri sendiri. Tugas memimpin itu merupakan amanah yang Allah kurniakan kepada kita untuk ditunaikan sebaiknya.

Tatkala tiba saat membuat keputusan, seseorang pemimpin itu harus memikirkan impak terbaik buat mereka yang dipimpin serta kemaslahatan umat. Faktor kepentingan diri hanya akan mengganggu gugat pertimbangan dalam proses membuat keputusan tersebut.

Pemimpin turut menerima keistimewaan atas posisi tersebut. Pemimpin yang baik dapat membezakan antara keistimewaan yang benar-benar berhak dimiliki ataupun tidak. Adakalanya terdapat keistimewaan yang boleh diabaikan secara baik lalu disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Seorang pemimpin yang baik akan berusaha membawa imej yang baik walau di mana sahaja. Imej tersebut tidak seharusnya ditampilkan semata-mata ketika menghadapi khalayak tetapi seharusnya menjadi pancaran akhlak diri yang luhur dan ikhlas.

Bermakna walaupun pemimpin itu tersembunyi daripada liputan insan lain, watak keperibadian diri pemimpin itu tetap teguh bersama ketakwaan diri kepada Allah yang Maha Mengetahui apa yang hamba-Nya lakukan dan fikirkan.

Menerima Pandangan Pengikut


Setiap pemimpin mempunyai pengikut, sama ada pemimpin atau pengikut masing-masing tidak dapat lari daripada kesilapan. Ada pandangan daripada pengikut yang mungkin lebih bernas justeru boleh dipertimbangkan oleh pemimpin.

Mendengar pandangan pengikut tidak akan menjatuhkan kredibiliti pemimpin malahan dapat memupuk kesepakatan antara keduanya. Soal penerimaan pendapat pula adalah perkara kedua yang akan menyusul setelah pemimpin berusaha memahami pandangan pengikut.

Sekurang-kurangnya dengan demikian pengikut mendapat peluang untuk bersuara serta menyuarakan pendapat. Pengikut juga dapat berasakan peranannya dihargai dalam menentukan hala tuju organisasi.

Dalam melaksanakan sesuatu tugas kepimpinan yang baru, bantuan nasihat daripada mereka yang kita warisi tugasan berkenaan dapat membantu kelancaran proses kepimpinan yang dilaksanakan.

Disebabkan pengalaman serta ilmu yang dimiliki, adalah baik untuk mereka dijadikan mentor kepada kita iaitu sebagai tempat untuk mendapatkan khidmat nasihat terutamanya tatkala melalui situasi kritikal dalam membuat sesuatu keputusan yang besar.

Memimpin Ada Had Waktunya

Setiap tugas kepimpinan ada had waktunya, sama ada hayat hidup, upaya kesihatan, ataupun termaktub dalam perundangan organisasi. Justeru setiap pemimpin harus menyedari hakikat tersebut dan menyediakan generasi pelapis untuk mewarisi kepimpinan.

Kesediaan menyerahkan tugas kepimpinan kepada yang layak apabila tiba masanya membantu melancarkan kesinambungan organisasi serta perkembangannya. Hal ini juga menggambarkan ketinggian peribadi pemimpin tersebut yang konsisten meletakkan kepentingan organisasi melebihi kepentingan diri.

Juga apabila kepimpinan tidak membuahkan hasil yang diharapkan, ada kalanya penstrukturan semula organisasi adalah perlu dalam mencetuskan momentum peningkatan pencapaian. Dalam situasi ini, kepimpinan tertinggi tidak terkecuali dalam perjalanan proses tersebut.

Justeru apabila tidak lagi diberikan tanggungjawab atas jawatan kepimpinan yang sama, pemimpin sebenar akan berlapang dada dengan situasi yang dihadapi. Maksud niat untuk menyumbang kepada organisasi tidak akan terhenti semata-mata tidak lagi memegang jawatan yang sama.

Sebaliknya situasi tersebut mampu membuka ruang kepadanya untuk menyumbang melalui kaedah atau wadah yang lain. Apa yang penting, sebagai pemimpin Muslim, agenda membangunkan ummah perlu diusahakan walau di mana jua ia berada.

Kesimpulan

Hidup ini bagaikan roda yang berputar, ada kalanya kita di atas, dan adakalanya kita di bawah. Ada masanya kita dipimpin, ada masanya kita memimpin. Apabila menjadi pemimpin, perlu ada kesedaran untuk mengingati saat ketika kita di bawah.

Apa jua tanggungjawab kepimpinan kita, kepimpinan diri adalah aspek penting yang mendasari kepimpinan organisasi. Justeru, pembentukan akhlak mulia serta penerapan nilai peribadi yang utuh perlu menjadi fokus dalam usaha mengasah kepimpinan untuk diri dan insan lain.



Petikan Buku :  Meningkatkan Kualiti Kepimpinan Diri
oleh Roziyah Mahamad • 29 Nov 2010 11:02 AM

Artikel dipetik daripada buku Memimpin Diri Sendiri oleh Tuan Ahmad Zabidi Abdul Razak

Meningkatkan Kualiti Kepimpinan Diri
Aspek pertama yang perlu dimiliki oleh setiap insan yang ingin menjadi pemimpin terbaik kepada diri sendiri adalah faktor motivasi. Tanpa motivasi, sesiapa pun tidak mungkin berusaha bersungguh-sungguh bagi melaksanakan setiap aktiviti yang berkaitan dengan dirinya. Ini kerana motivasi bermaksud pendorong kepada keinginan memperoleh sesuatu. Apabila tiada dorongan menyebabkan sifat malas ataupun jemu menguasai diri. Motivasi juga dikatakan suatu perancangan awal yang dilakukan oleh seseorang bagi memperoleh kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi dengan cemerlang. Seseorang yang bermotivasi sentiasa bersemangat tinggi, sanggup menghadapi setiap rintangan sehinggakan biar apa sahaja yang menghalang pasti dia akan memperoleh kejayaan yang cemerlang.
Menyedari hakikat kepentingan motivasi, sepatutnya setiap pelajar memilikinya. Tetapi persoalannya, kenapakah masih terdapat pelajar-pelajar yang gagal memperoleh kejayaan cemerlang? Adakah mereka ini tidak bermotivasi ataupun terdapat masalah-masalah lain yang menguasai diri. Walaupun tidak dinafikan kemungkinan terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkan kegagalan, antaranya faktor kewangan, faktor keluarga yang tidak bahagia dan berpecah belah, namun apabila diri sendiri tetap mahukan kejayaan tiada siapa yang mampu menghalang cita-cita itu.
Memandangkan pentingnya aspek motivasi ini, persoalannya adakah terlalu sukar memiliki motivasi yang kuat ataupun membentuk motivasi diri. Sememangnya kata-kata motivasi mudah diucapkan tetapi sukar memilikinya. Tuhan menyatakan dalam diucapkan tetapi sukar memilikinya. Tuhan menyatakan dalam surah ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud, "Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri yang mengubahnya." Ayat ini menjelaskan kaum yang ramai bilangannya tidak akan diubah nasib mereka apabila mereka tidak mahu berubah. Jadi, sudah tentu sebagai seorang pelajar ataupun pekerja apabila kita tidak mahu melakukan sebarang perubahan ke atas diri sendiri, sudah tentu tidak ada suatu kuasa pun yang mampu mengubah diri sendiri.
Kesimpulannya, apabila kita inginkan kejayaan yang cemerlang dalam setiap bidang yang diceburi, kita sendiri yang perlu memiliki sifat-sifat berikut iaitu mengawal diri sendiri, sentiasa bermotivasi ke arah peningkatan kualiti diri dan melakukan perubahan ke arah hidup yang lebih berkualiti. Tenangkan fikiran, pejamkan mata seketika, tanyalah diri kita adakah kita seorang yang bermotivasi ataupun kita masih tercari-cari jalan menjadi seorang yang bermotivasi?


RUJUKAN :

No comments:

Post a Comment