Monday 19 December 2011

BAB 4 (Pengurusan Maklumat) by HOO AY TING A136258

Literasi Maklumat
Teknologi maklumat (IT) telah mengubah cara kita bekerja (aspek ekonomi), berkomunikasi (aspek sosial), dan berfikir (aspek psikologi). Walaupun Malaysia masih belum mencapai status masyarakat maklumat, kita sudah merasai bahang dan gelora Zaman Maklumat. Kita tidak dapat menguasai teknologi dengan hanya menekan butang komputer. Kita perlu mempunyai kemahiran mengakses maklumat. Hanya dengan adanya literasi komputer dan literasi maklumat yang tinggi, barulah kita dapat bekerja, dalam persekitaran maya, yang dirangkaikan menjadi pangkalan data sejagat. Literasi maklumat atau celik maklumat adalah kemahiran melakukan perkara-perkara seperti mengenal pasti dan mencari sumber maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai. Selepas itu, kita perlulah menilai kualiti dan menyusun maklumat dengan betul serta dapat menggunakan maklumat itu dengan efektif. Kecekapan utama ataupun teras dalam celik maklumat berdasarkan


a. Pemahaman luas berkenaan sifat maklumat


Seseorang perlu memahami sifat maklumat dalam pelbagai subjek atau disiplin ilmu.Kesedaran berkaitan kewujudan pelbagai jenis sumber rujukan dan kegunaannya perlu diketahui.


b. Kebolehan mencapai maklumat

Mengenal pasti sumber-sumber maklumat yang akan digunakan bagi sesuatu tujuan. Selain itu, keupayaan bagi memastikan berapa banyak maklumat yang diperlukan juga penting. Dalam mencapai makluamat eletronik, mengetahui kaedah carian yang berkesan adalah penting. Carian maklumat dalam pangkalan data ataupun internet memerlukan kemahiran khusus.

Kebolehan Menilai Kebenaran Maklumat

Maklumat yang diperoleh perlu dipastikan kesahihannya. Ia dapat dilakukan dengan beberapa cara seperti meneliti pengarang, penerbit, tahun penerbitan dan isi kandungan sumber maklumat.

Kebolehan menganalisis dan merumus maklumat.


Seseorang perlu tahu memilih maklumat yang relevan dan sesuai sahaja bagi memenuhi sesuatu keperluan.


Sejak tahun 1960-an, pelbagai istilah telah digunakan untuk mengungkap sesuatu yang bermaklumat. Antaranya ialah Automasi Perpustakaan, Pengajaran Perpustakaan, Pengajaran Bibliografik dan Pendidikan Pembaca. Tapi pada tahun 1990-an, ia mula dikenali dengan nama Kemahiran Maklumat, Pengajaran Kemahiran Maklumat dan Literasi Maklumat. Oleh sebab kuasa, kawalan, dan minat juga dikaitkan dengan maklumat dan IT, sesiapa yang menguasai maklumat juga menguasai yang lain. Daripada kuasa dan kawalan itulah lahirnya perbezaan kelas dalam masyarakat yang menjadi faktor utama penyebaran, pengaksesan, dan juga kapasiti masing-masing dalam menggunakan maklumat yang sedia ada.

Konsep – konsep literasi maklumat

Konsep literasi maklumat mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 1980 oleh American Library Association (ALA). ALA membentuk Forum Kebangsaan Mengenai Literasi Maklumat (National Forum on Information Literacy) yang dianggotai 65 organisasi bagi menggembangkan konsep literasi maklumat atau celik maklumat. Pada tahun 1989, ALA mengeluarkan definisi literasi maklumat yang diterima dan diguna pakai oleh umum sehingga sekarang.

Jika dilihat secara terperinci, literasi bermaksud keupayaan untuk membaca dan mendapatkan makna daripada perkataan. Selain itu, literasi juga didefinisikan sebagai mempunyai pengetahuan yang secukupnya untuk menggunakan sesuatu. Manakala, maklumat pula ialah hasil daripada pemprosesan , pengumpulan dan penganalisaan data yang dapat menambah pengetahuan kepada penerima maklumat. Secara ringkasnya, maklumat merupakan konteks apabila data digunakan. Tambahan lagi, maklumat ialah sesuatu penerangan yang diperolehi daripada pelbagai sumber terutamanya dalam bentuk data, pengetahuan atau kebijaksanaan. Maklumat juga merupakan proses menambah pengetahuan secara langsung atau tidak langsung melalui pengalaman sendiri dan pengalaman orang lain seperti pengetahuan yang disimpan dalam bentuk bahan cetak, bahan tayang dan bahan tiga dimensi.

Jadi, literasi maklumat boleh digambarkan sebagai keupayaan mendapat makna daripada maklumat. Menurut Rader (1991), literasi maklumat ialah satu keupayaan untuk mengakses dan menilai maklumat dengan berkesan bagi menyelesaikan sesuatu masalah dan mengambil keputusan. Doyle,C (1994) pula merujuk kepada keupayaan untuk mengakses, menilai dan mengguna maklumat daripada pelbagai sumber.

Ciri – Ciri Orang Berliterasi Maklumat

Orang yang berliterasi maklumat merupakan orang yang celik maklumat di mana mereka dapat menguasai semua kemahiran yang diperlukan. Mereka sering dijadikan bahan rujukan oleh semua orang kerana mereka boleh didibaratkan sebagai ”kamus bergerak”. Terdapat 7 ciri – ciri yang dapat dinyatakan. Antaranya ialah mereka mengakses maklumat secara berkesan dan efisien, mereka dapat menilai maklumat secara kritis dan cekap , mereka dapat menggunakan maklumat secara betul dan bersesuaian dengan apa yang dikehendaki, mereka sering berusaha mendapatkan maklumat berhubung pelbagai aspek kehidupan yang berkait rapat dengan mereka, mereka juga menghargai bahan – bahan sastera yang kreatif, mereka berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan maklumat dan penjanaan ilmu, mengamalkan tingkah laku dan etika yang baik berhubung maklumat dan IT, dan mereka suka mengambil bahagian dalam kumpulan untuk menjadi pencari maklumat yang baik. Selain itu, orang yang berliterasi maklumat mampu untuk bersaing dengan ledakan maklumat pada zaman serba teknologi menuju wawasan 2020 kelak.

Kepentingan Literasi Maklumat Dalam Kehidupan

Literasi maklumat amat penting dalam kehidupan terutamanya buat seseorang pelajar. Literasi maklumat juga memberikan banyak impak dalam kehidupan seharian kita semua tidak mengira jantina mahupun kaum.

Dari aspek dasar pembangunan negara, celik maklumat dapat membangunkan ekonomi berasaskan k – ekonomi dan k – masyarakat. K – ekonomi ialah satu cabang ekonomi yang berasaskan pengetahuan. Ekonomi ini adalah satu sistem ekonomi dimana penjanaan dan eksploitasi ilmu dan pengetahuan memainkan peranan yang dominan didalam usaha untuk membina kekayaan. Bagi negara ekonominya maju, lebih daripada 70% tenaga manusia adalah pekerja berilmu . Manakala, k – masyarakat pula ialah masyarakat yang berasaskan pengetahuan. Jadi, disini jelaslah sudah bahawa literasi maklumat amat penting dalam membangun ekonomi dan melahirkan individu yang berdaya saing selaras dengan arus pemodenan dan globalisasi yang terlalu bergantung kepada teknogi maklumat amnya.


Tambahan lagi, literasi maklumat amat bertepatan dengan Matlamat Pendidikan Negara yang ingin melahirkan generasi ulul-albab yang celik maklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Manakala, dari aspek sosial, maklumat yang sudah diproses akan menjadi ilmu yang akan menjadikan kita lebih pandai, proaktif, produktif,kreatif,dan inovatif , iaitu syarat yang dituntut oleh era baru. Dari segi pendapatan negara, menggunakan lebih banyak maklumat bukan sahaja boleh meningkatkan pengeluaran perkhidmatan dan barangan baru, malahan pengeluarannya dapat dilakukan dengan lebih murah, kualiti yang tinggi, dan dalam tempoh jangka masa yang lebih singkat. Contohnya, sistem penempahan tiket kapal terbang. Selain membolehkan prosesnya berjalan lancar, syarikat penerbangan juga dapat memantau dan mengawal perjalanan penumpang di seluruh dunia pada tiap – tiap hari. Daya saing syarikat meningkat, keuntungan bertambah dan kos operasi berkurang.


Dalam erti kata yang lain, semakin banyak maklumat yang digunakan, semakin kuranglah tenaga manusia dan bahan mentah konvensional lain yang diperlukan. Hal ini dapat diperhatikan di Jepun dan Singapura. Walaupun mereka tidak mempunyai sumber alam dan galian, negara mereka dapat mengeksport barangan dan perkhidmatan ke negara lain. Negara ini hanya memanfaatkan sumber yang ada dengan memberikan pendidikan yang baik kepada rakyatnya dengan maklumat dan ilmu terkini. Daripada maklumat dan ilmu itulah, banyak produk baru dapat dihasilkan dan dieksport.

Literasi maklumat amat penting dalam mengejar arus ledakan maklumat yang serba canggih sekarang. Semua manusia haruslah mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam bidang IT untuk menjadi orang yang berliterasi maklumat.

BIBLIOGRAFI

http://books.google.com.my/books
apps.emoe.gov.my/pkgtbb/
Ambigapathy Pandian. Literasi Maklumat dikalangan guru pelatih bahasa.
Computer literacy, Universiti Sains Malaysia 2005ISBN9833391214
Irma Indayu Omar & Yushiana Mansor(2005). Siri Teknologi Maklumat,
Panduan Mencari Maklumat. PTS Professional Publishing
Sdn.Bhd (678274-D) 2005.

Sumbangan dari website:http://maziahrashid.blogspot.com/p/literasi-maklumat.html


Ulasan : Dari aspek pendidikan, ia membawa perubahan ke arah sistem pendidikan bestari. Pembestarian sistem pendidikan di sekolah perlu mengambil kira aspek pembinaan minda/kognitif pelajar maklumat. Program literasi maklumat membantu membina intelek pelajar dan ianya hendaklah dilaksanakan untuk menjana modal insan yang mempunyai minda kelas pertama (RMK9). Literasi maklumat perlu dikuasai oleh semua pelajar. Kemahiran yang sama perlu digunakan di semua peringkat pembelajaran dengan skop yang berbeza. Kemahiran ini penting diajarkan dalam konteks kurikulum sebagai satu proses untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Oleh sebab kuasa, kawalan, dan minat juga dikaitkan dengan maklumat dan IT, sesiapa yang menguasai maklumat juga menguasai yang lain. Daripada kuasa dan kawalan itulah lahirnya perbezaan kelas dalam masyarakat yang menjadi faktor utama dalam perkembangan sosioekonominya.

No comments:

Post a Comment